fb fb fb fb fb

Usul lantik wakil Sabah, Sarawak dalam LHDN dijangka tidak berdepan masalah

(FOTO FAIL)

JOHOR BAHRU, 7 Oktober - Pembentangan usul bagi melantik wakil dari Sabah dan Sarawak sebagai anggota dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dijangka tidak menghadapi sebarang masalah.

Usul itu akan dilaksanakan menerusi Pindaan Rang Undang-Undang (LHDNM) 2023 yang bakal dibentangkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen ke-15, bermula Isnin depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pelantikan itu sejajar dengan hasrat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam mengangkat peranan Sabah dan Sarawak untuk pembangunan negara.

(Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan)

"Kalau ada wakil daripada mereka maka mereka dapat mengetahuinya dengan lebih terperinci jumlah kutipan hasil itu dan kemudian boleh kita merancang supaya hasil itu kita kembalikan kepada Sabah dan Sarawak untuk pembangunan negeri berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kita Madani Negeri Johor 2023 di Dataran Majlis Perbandaran Pontian, di sini.

Sebelum ini, Sarawak merekodkan pendapatan tertinggi dalam sejarah untuk hasil pada tahun 2022, sebanyak RM11.9 bilion iaitu 17 peratus lebih tinggi daripada pendapatan diunjurkan, RM10.2 bilion.

Manakala, Kerajaan Sabah dilaporkan menjana hasil RM6.6 bilion dengan rekod pelaburan bernilai RM33.4 bilion pada tahun 2022.

Media Baharu