KUCHING, 7 Oktober - Sarawak mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi kemungkinan kemunculan penyakit X di negeri itu, seperti yang keluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu diambil berpandukan pengalaman ketika berdepan pandemik COVID-19 pada tahun 2020.
“Berdasarkan pengalaman kita dengan COVID-19 sebelum ini, kita perlu berjaga-jaga dan tunggu pandangan WHO untuk mengetahui apakah penyakit X ini. Adakah ia penyakit demam atau flu.
“Apabila sudah tahu maklumat terperinci baru kita boleh bertindak dan kenal pasti vaksin,” katanya.
(Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (dua, kanan) menyempurnakan perasmian
Advancing Asia 2023, The Business and Entrepreneurs Forum hari ini/FOTO BERNAMA)
Beliau ditemui pemberita menghadiri Forum Perniagaan Dan Usahawan 2023 di sini hari ini.
Ia bagi mengulas ucapan beliau yang menyatakan Sarawak perlu bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berdepan penyakit X.
Dalam pada itu, Premier memberitahu Sarawak berhasrat untuk menghasilkan vaksin penyakit berjangkit melalui penubuhan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) yang sedang dibangunkan di Kota Samarahan.
Katanya, usaha itu dilakukan dengan kerjasama antara pakar tempatan dari Sarawak dengan rakan kongsi antarabangsa dari Singapura dan Jerman, menerusi memorandum perjanjian dan persefahaman yang dimeterai semalam.
Menurut Datuk Patinggi Abang Johari, Sarawak mempunyai kepelbagaian bio yang boleh dibuat penyelidikan akan potensinya dijadikan vaksin untuk penyakit berjangkit.