(Situasi jerebu di Kuala Lumpur ketika ini)
BATU GAJAH, 7 Oktober- Langkah bagi menangani isu jerebu di negara ini akan dibawa dalam sidang Parlimen Isnin ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara itu akan dibahaskan dan pihaknya akan memberikan status terkini langkah bagi menangani isu itu pada hari tersebut.
(Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim
Nik Nazmi Nik Ahmad)
"Ada perbahasan dan kita akan menjawab, selain saya memberi penerangan wakil-wakil rakyat akan membahaskan perkara tersebut daripada kerajaan dan pembangkang dan seterusnya kita akan menjawab apa yang mereka bangkitkan. Jadi mungkin waktu itu, sebab saya ingat dari hari ke hari memang kita bagi kemaskini, tetapi hari Isnin ini kita akan beri status terkini", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Papan 2 di Batu Gajah, Perak.
Terdahulu, Malaysia masih menunggu maklum balas Indonesia setelah menghantar surat kepada negara itu mengenai usaha untuk mengekang masalah jerebu rentas sempadan.
Katanya, tindakan itu dibuat susulan arahan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pihaknya menyelaras dengan rakan sejawat dalam ASEAN, termasuk Indonesia untuk menangani masalah berkenaan.