fb fb fb fb fb

USIM cipta aplikasi Quran isyarat pertama di Malaysia

NILAI, 20 April- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendapat pengiktirafan ‘Malaysia Book of Records’ sebagai yang pertama di negara ini membangunkan Aplikasi Quran Isyarat yang membolehkan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pendengaran membaca Al-Quran.

Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) USIM, Dr. Haji Norakyairee Mohd Raus memberitahu, komuniti OKU pendengaran bukan sahaja dari Malaysia, malah dari seluruh dunia mampu membaca Al-Quran menggunakan Aplikasi Quran Isyarat yang boleh dimuat turun melalui platform android dan iOS secara percuma.

Pembangunan aplikasi tersebut bermula dengan usaha memenuhi permintaan Persatuan Orang Pekak Muslim Malaysia dan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan seawal 2015 untuk mempelajari Al-Quran sesuai dengan ketidakupayaan mereka mendengar dan bertutur.

Aplikasi Quran Isyarat yang dibangunkan pada 2017 dengan kos hampir RM1 juta itu lengkap dengan 30 juzuk kaedah tilawah Al-Quran berbentuk isyarat kod tangan dan Transliterasi Makhraj.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Bangunan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Pelancaran Aplikasi Quran Isyarat USIM di Nilai.

Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud sebagai Tuanku Canselor USIM berkenan menyempurnakan majlis perasmian tersebut.


(Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan merasmikan majlis pengiktirafan USIM yang membangunkan Aplikasi Quran Isyarat  dalam 'Malaysia Book of Records' )

Media Baharu