KUALA LUMPUR, 20 April - Pelan HIJRAH24 Lembaga Tabung Haji 2022-2024, Hijrah24, yang dilancarkan hari ini diyakini berupaya melonjakkan semula aktiviti perniagaan serta pelaburan Tabung Haji, TH.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bagi memastikan kesinambungan dan kecemerlangannya secara berterusan.
Menurutnya, pelan itu dibangunkan selari dengan nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia yang menerapkan pengkayaan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
"HIJRAH24 merupakan Pelan Transformasi Strategik TH 2022-2024 bagi memacu organisasi untuk tiga tahun ke hadapan, terutamanya dalam menempuh cabaran yang mendatang.
"Saya difahamkan pelan ini merangkumi 24 inisiatif strategik untuk mencapai aspirasi TH, dengan tumpuan kepada pengukuhan struktur tadbir urus korporat, operasi serta didorong oleh inisiatif digitalisasi," katanya ketika melancarkan pelan HIJRAH24, di sini hari ini.
(Ismail Sabri)
Ismail Sabri juga berkata melalui HIJRAH24, TH menetapkan sasaran utama iaitu peningkatan saiz dana berjumlah RM100 bilion pada 2024 serta penambahan jumlah pendeposit meliputi lebih 50% daripada penduduk Islam Malaysia.
Turut disasarkan keuntungan boleh agih kepada pendeposit pada kadar melebihi 0.75% daripada kadar pulangan Islamik, peningkatan pengguna THiJARI melebihi empat juta pengguna, Indeks Kepuasan Pelanggan melebihi 90% dan Indeks Penglibatan Anggota melebihi 75%.
"Tahniah saya ucapkan kepada Tabung Haji atas usaha gigih bagi memastikan institusi Islam yang menjadi ikon
kebanggaan negara terus berdaya saing dan kekal relevan.
"Saya mendoakan agar HIJRAH24 ini dapat dikotakan pada akhir tempoh 2024 seperti yang dirancang," katanya.
(Ismail Sabri (dua dari kiri) ketika melancarkan Pelan HIJRAH24 Lembaga Tabung Haji 2022-2024)
Dalam pada itu katanya, kerajaan menaruh keyakinan kepada Tabung Haji dan akan terus memberi sokongan atas usaha dan inisiatifnya demi kebaikan jemaah haji khususnya dan umat Islam umumnya.