KUALA LUMPUR, 12 Julai - Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand menyatakan sokongan penuh terhadap misi USANITA Group dalam memperkasa usahawan wanita Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa, khususnya di rantau Australasia.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki menyifatkan USANITA sebagai sebuah platform dinamik yang berperanan memacu penyertaan wanita dalam ekonomi rentas sempadan.
"Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand menyokong pelaksanaan program strategik oleh USANITA di New Zealand yang mencerminkan kekuatan Malaysia dalam bidang keusahawanan, budaya dan diplomasi ekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pra Pelancaran Bridge to Brilliance (BtB) 4.0: Australasia USANITA di sebuah hotel di Auckland.
Antara program BtB 4.0 yang bakal dilaksanakan USANITA termasuk pertunjukan fesyen warisan tradisional Malaysia, sempena Hari Malaysia di Wellington, New Zealand pada September depan.
Selain itu, kempen 'Taste of Malaysia' akan turut dianjurkan bagi mempromosikan produk halal usahawan Malaysia.
Sementara itu tayangan filem dan filem pendek karya pelajar Malaysia pula akan dibuat sebagai manifestasi diplomasi budaya Malaysia yang progresif dan inklusif.
Kerjasama strategik tersebut, bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia ke-62.
Kolaborasi itu diyakini mampu memperkukuh lagi citra Malaysia dalam platform serantau dan antarabangsa.
"Hubungan dua hala Malaysia–New Zealand semakin kukuh hasil lawatan rasmi Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon ke Malaysia pada September 2024 yang membuka ruang kerjasama dalam bidang perdagangan, inovasi, kelestarian dan hubungan rakyat dengan rakyat," tambahya.
Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Datuk Seri Prof Dr Hasan menyifatkan sokongan daripada pihak Suruhanjaya Tinggi New Zealand sebagai satu pengiktirafan rasmi terhadap potensi wanita Malaysia dalam bidang diplomasi ekonomi.
"Ini bukan sekadar galakan moral, tetapi tanda kepercayaan terhadap peranan wanita sebagai pemacu diplomasi budaya dan ekonomi.
"BtB 4.0: Australasia bakal menjadi pelopor kepada era baharu keterlibatan wanita Malaysia di pasaran global khususnya di New Zealand dan Australia," katanya.
Inisiatif BtB 4.0 telah pun bermula di New Zealand dengan penghasilan dua buah telemovie USANITA berjudul; 'Poskad Cinta Dari Auckland' dan 'Saling Tak Terlihat'.
"Penggambaran untuk dua telemovie yang berlangsung di sekitar Auckland akan selesai pada pertengahan bulan ini.
"Manakala penggambaran filem bertajuk 'Nafs' terbitan USANITA , hasil karya pengarah, pelakon dan penulis skrip Erma Fatima akan dibuat di New Zealand September depan," katanya.
Program BtB merupakan inisiatif berimpak tinggi bagi memperkasa usahawan Malaysia, khususnya wanita dan golongan B40.
Fasa pertama dan kedua yang dilancarkan pada tahun 2022 dan 2023 meneroka peluang di Indonesia.
Manakala fasa ketiga berlangsung di United Kingdom pada awal tahun ini melakar sejarah tersendiri apabila USANITA menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Said Business School, Universiti Oxford bagi penyediaan pendidikan eksekutif bertaraf dunia.
"Program BtN 4.0: Australasia juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh agenda inklusif serantau sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025," katanya.