BALING, 12 Julai – Projek Pembinaan Infrastruktur Sabo di Lembangan Sungai Kupang, Baling, Kedah mencatat kemajuan memberangsangkan apabila telah mencapai 75 peratus siap, sekali gus mendahului jadual asal yang dijadualkan hanya 51 peratus setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri Kedah, Datuk Mohamad Yusoff@ Munir Zakaria berkata projek bernilai kira-kira RM25 juta itu melibatkan pembinaan struktur konkrit utama di atas 33 topi cerucuk.
“Struktur ini berfungsi untuk memperlahankan kelajuan air dan menahan puing, batu serta objek lain dari kawasan hulu,” katanya semasa melakukan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan di Sungai Kupang, di sini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kedah, Ir. Ahmad Solihin Budarto.

Projek tersebut turut merangkumi pembinaan stesen siren dan sistem amaran awal bagi memberi peringatan kepada penduduk sekiranya berlaku hujan lebat atau fenomena kepala air
Tambah beliau, satu lagi struktur konkrit dibina di bahagian bawah pula berfungsi sebagai penahan pasir.
Selain itu, projek tersebut turut merangkumi pembinaan stesen siren dan sistem amaran awal bagi memberi peringatan kepada penduduk sekiranya berlaku hujan lebat atau fenomena kepala air di Puncak Gunung Inas.
Menurutnya, projek itu dilaksanakan bagi menjaga keselamatan orang ramai serta melindungi harta benda daripada ancaman bencana banjir dan aliran puing dari kawasan tanah tinggi.
Mohamad Yusoff turut berharap agar pelaksanaan projek tersebut dapat memberi manfaat besar kepada penduduk setempat serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi risiko bencana alam.