fb fb fb fb fb

Mengakui kesilapan dan memohon maaf: Tanggungjawab individu yang berjiwa besar

Perbaiki diri dan perkukuh budaya dakwah. - BERNAMA

KUALALUMPUR, 12 Julai - Mengakui kesilapan dan memohon maaf satu tindakan tanggungjawab yang wajar dicontohi serta melambangkan kekuatan insan berjiwa besar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan berkata tindakan itu mencerminkan individu berkenaan mempunyai jiwa yang terbuka, rendah hati dan berpegang kepada prinsip islah yang dituntut oleh Islam.

Beliau menyambut baik dan menghargai tindakan Ustaz Firdaus Firabib dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membuat permohonan maaf secara terbuka dengan penuh keinsafan dan rasa tanggungjawab.

Baru-baru ini tular rakaman sebuah majlis selawat di Kedah, apabila terdapat unsur muzik popular yang kurang bersesuaian diselitkan dalam program berkenaan sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam.

Manakala kekhilafan kenyataan seorang pemimpin negara ketika menyampaikan ucapan dalam sebuah majlis, kesediaan memohon maaf itu menunjukkan contoh kepimpinan berhemah dan prihatin dengan sensitiviti umat Islam.

Semua penganjur majlis agama disaran agar sentiasa menjadikan adab serta panduan syarak sebagai asas iaitu pendekatan yang menepati maqasid, mengangkat kesucian majlis dan tidak mengundang kekeliruan atau polemik yang merugikan.

Justeru beliau mengajak seluruh umat Islam di negara ini  mengambil hikmah daripada kedua-dua peristiwa berkenaan untuk memperbaiki diri dan memperkukuh budaya dakwah yang berpaksikan ilmu, akhlak dan kasih sayang.

HASRON BIN HASSAN