Usahawan perlu manfaatkan AI secara beretika, bertanggungjawab

Foto BERNAMA

AYER KEROH, 15 Ogos – Usahawan perlu memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara beretika dan bertanggungjawab bagi memperluas perniagaan, tanpa menyalahgunakan platform digital sehingga mengelirukan pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Patuh kepada standard dan garis panduan dalam penggunaan AI, terutamanya pemasaran produk di platform digital.
  • Kerjasama kerajaan dengan rakan strategik dan platform media sosial untuk pastikan kandungan memenuhi piawaian dan tidak disalahguna.
  • Platform digital harus berperanan sebagai pengawal untuk mengenal pasti dan mengekang penjualan produk atau kandungan melanggar peraturan.
  • Tingkatkan kemahiran secara berterusan dan gunakan AI secara profesional untuk manfaat serta elakkan penyalahgunaan teknologi.

Naib Presiden Kanan (Hal Ehwal Korporat/Pembangunan Industri Digital) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Fadzli Abdul Wahit berkata, penggunaan AI perlu disertai pematuhan terhadap standard dan garis panduan ditetapkan, khususnya dalam pemasaran produk menerusi platform digital.

Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan dengan rakan strategik, termasuk platform media sosial turut penting bagi memastikan kandungan dan produk yang dipasarkan memenuhi piawaian ditetapkan serta tidak disalahgunakan sehingga memudaratkan pengguna.

Platform digital juga berperanan sebagai ‘gatekeeper’ dalam mengenal pasti dan mengekang penjualan produk atau kandungan yang melanggar peraturan.

“Ramai yang boleh menggunakan AI, tetapi kalau kita tidak mahu orang menyalahgunakannya, mereka perlu profesional. Jangan salah gunakan AI. Gunakan AI ini untuk manfaat dan kebaikan teknologi masa depan,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Malaysia Digital di Mini Stadium Bistari, di sini.

Beliau turut menggesa usahawan meningkatkan kemahiran secara berterusan selaras perkembangan teknologi yang semakin pesat.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Fadzli berkata Malaysia kini hanya berbaki lima peratus untuk mencapai sasaran sumbangan ekonomi digital sebanyak 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Pencapaian sasaran itu akan turut memperkukuh langkah negara merealisasikan aspirasi sebagai Negara AI.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.