fb fb fb fb fb

Usaha tubuh tribunal hak asasi manusia masuk fasa kajian terperinci

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Cadangan penubuhan tribunal hak asasi manusia di Malaysia kini memasuki fasa kajian terperinci selepas kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menilai kebolehlaksanaan cadangan tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran memaklumkan mesyuarat awal berhubung cadangan itu telah diadakan pada 21 November 2024 dan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

“Hasil daripada mesyuarat tersebut, satu Jawatankuasa Kajian Kebolehlaksanaan Tribunal Hak Asasi Manusia (JKKTHAM) telah ditubuhkan pada Jun 2025 bagi melaksanakan kajian menyeluruh ke atas penubuhan tribunal berkenaan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Kajian yang bermula sejak Jun lalu dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2025.

Menurut beliau, jawatankuasa itu terdiri daripada pelbagai pihak termasuk bekas hakim, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan hak asasi antarabangsa bagi memastikan dapatan kajian mencerminkan pandangan yang komprehensif.

Setakat ini, lima mesyuarat telah diadakan dan pembentangan awal hasil kajian oleh pasukan penyelidik berlangsung pada 9 Julai lalu.

Sesi perbincangan kumpulan fokus (FGD) bersama pihak berkepentingan turut dijalankan pada 12 hingga 17 Julai di Kuala Lumpur dan akan diperluas ke zon lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Kulasegaran menegaskan usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam agenda reformasi institusi.

“Cadangan menubuhkan tribunal hak asasi manusia merupakan satu langkah reformasi bagi menyediakan mekanisme alternatif yang lebih mudah diakses, membolehkan mangsa pelanggaran hak asasi mendapatkan keadilan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan turut sedang meneliti mekanisme pelaksanaan syor dan dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) melalui cadangan penubuhan tribunal tersebut.

“Isu pelaksanaan syor SUHAKAM merupakan antara fokus utama kajian JKKTHAM. Saya berpendapat adalah penting agar syor atau pandangan yang dikemukakan SUHAKAM tidak dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya perlu dilaksanakan, khususnya berkaitan perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat,” katanya.

Tambah beliau, jika melibatkan isu pencabulan hak asasi manusia, perkara itu akan turut dirangkumi dalam tribunal yang bakal diwujudkan, meskipun masih terlalu awal untuk menetapkan kerangka, asas dan parameternya.

Penubuhan tribunal itu dijangka membuka laluan kepada siasatan yang lebih telus dan berfokus terhadap kes-kes pencabulan hak asasi, termasuk kes berprofil tinggi yang sebelum ini didakwa gagal mendapat keadilan sewajarnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN