(Foto Bernama)
KUALA LUMPUR, 20 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa umat Islam mempersiapkan diri dengan ilmu serta kefahaman Islam berlandaskan al-Quran.
Katanya, umat Islam tidak sekadar menangkis serangan Islamofobia tetapi perlu bertindak dengan wajar tanpa sebarang penindasan dan kekerasan.
"Di Malaysia ini kita ada Islam sebagai agama persekutuan tetapi peraturan itu melarang umat Islam menghina atau mencerca fahaman agama lain dan mudah-mudahan kita dapat kembangkan semangat yang sedemikian.
"Sebab itu bila berlakunya kebakaran al-Quran di Sweden...selain daripada mengecam, saya telah mengambil keputusan untuk mengarahkan jabatan dan penerbit al-Quran untuk menerbitkan dalam semua bahasa termasuk dalam bahasa Sweden, sejuta al-Quran untuk disebarkan di Malaysia dan di seluruh dunia," katanya.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto Bernama)
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 Tahun 1445H/2023M di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini malam tadi.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
MTHQA yang berakhir 24 Ogos dijangka membabitkan penyertaan 76 peserta terdiri daripada qari, qariah dan peserta hafazan dari seluruh dunia.