(Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan hadiah pertandingan pidato
kepada pelajar Rafaa Ahmad Muneer (tengah)/BERNAMA)
IPOH, 19 Ogos- Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat menyaksikan Pertandingan Akhir Program Menyemai Semangat Kesetiaan kepada Raja dan Negara bersempena Sambutan Kemerdekaan 2023.
Pertandingan berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil.
Program tersebut merupakan anjuran bersama Dewan Negara Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri dengan pembiayaan dan sokongan kerajaan negeri.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kerian, Rafaa Ahmad Muneer dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buyong Adil, Tapah Muhammad Asyraf Rosman dipilih sebagai johan pidato Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menengah atas.
Masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM750 dan piala.
Selain pidato, turut diadakan Pertandingan Melukis Poster; Melukis Karikatur; Menulis Sajak; Choral Speaking; Bicara Berirama dan Menulis Esei.
Program tahun ini menerima lebih 564,000 penyertaan.
(Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan
mengaminkan doa di Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara/BERNAMA)