fb fb fb fb fb

Usaha tambah penerbangan terus Malaysia-Henan untuk tingkat perdagangan, pelaburan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke/ BERNAMA

SEPANG, 18 September - Malaysia berhasrat meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan dan pelancongan dengan Wilayah Henan, China, menerusi usaha menambah penerbangan terus antara Lapangan Terbang Antarabangsa Xinzheng Zhengzhou (CGO) dan Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata langkah itu penting bagi memperkukuh keterhubungan sekali gus merancakkan peluang ekonomi, khususnya dalam sektor rantaian bekalan.

“Gabenor Henan memaklumkan bahawa syarikat BYD mempunyai kilang besar di wilayah itu dan kini turut melabur di Malaysia. Pergerakan rantaian bekalan, terutama bagi komponen akan menjadi semakin penting. Kita berharap perdagangan dua hala dengan Henan dapat meningkat berkali ganda dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menggalakkan syarikat penerbangan tempatan menambah laluan penerbangan. Ia bukan sahaja hanya dari Kuala Lumpur, tetapi juga dari bandar lain seperti Pulau Pinang, Johor, Kota Kinabalu dan Kuching.

“Kita berharap dapat mempromosikan Malaysia dengan lebih agresif di wilayah Henan. China mempunyai 1.4 bilion penduduk, manakala Henan sahaja mempunyai 100 juta penduduk.

"Kita mesti mengambil peluang ini untuk menarik lebih ramai pelancong dari pasaran ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Forum Kerjasama Antarabangsa Zhengzhou–Kuala Lumpur Air Silk Road, di sini.

Dalam forum berkenaan, Gabenor Wilayah Henan, Wang Kai, berkata kerjasama Malaysia-China ini merupakan peluang yang semakin berkembang untuk meningkatkan jumlah perdagangan.

"Sejak tahun lalu nilai dagangan antara kedua-dua pihak telah melebihi 16 bilion yuan, dengan peningkatan 33.5 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

“Setakat ini, Malaysia telah menubuhkan sebanyak 70 syarikat di Henan dengan nilai pelaburan melebihi 10 bilion yuan (kira-kira RM5.9 bilion),” katanya.

ROSLINA BINTI DIN