JOHOR BAHRU, 18 September - Kementerian Kesihatan (KKM) menyerahkan 20 unit ambulans jenis B kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi memperkukuh sistem respons kecemasan, serta mempertingkat mutu perkhidmatan kesihatan awam.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, dua daripada ambulans berkenaan akan ditempatkan di Hospital Pasir Gudang, manakala selebihnya ditempatkan di klinik kesihatan dalam dan luar bandar.
“Sebanyak 20 fasiliti kesihatan termasuk hospital dan klinik kesihatan di bandar serta luar bandar dikenal pasti untuk menerima ambulans berkenaan", katanya menerusi kenyataan.
Fasililti kesihatan yang dikenal pasti sebagai penerima termasuk Klinik Kesihatan di Bukit Waha, Jemaluang, Tenggaroh Dua, Palong Timur dan Ayer Baloi.
Penyerahan 20 ambulans itu merupakan fasa awal penyerahan, dengan fasa seterusnya akan melibatkan 17 ambulans jenis B.
Pihaknya yakin, pertambahan aset kesihatan tersebut, dapat mempercepat akses kepada rawatan kecemasan, seterusnya menyelamatkan nyawa.