TAIPING, 19 September - Usaha memperkasa pembangunan bakat dan teknologi dalam bidang semikonduktor negara diperkukuh menerusi pelancaran Akademi Teknologi Semikonduktor, Jabatan Tenaga Manusia (STAc-JTM).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, menegaskan kepentingan pembangunan bakat tempatan dalam industri semikonduktor yang kini menjadi nadi kepada teknologi digital serta pemacu utama ekonomi negara.
Beliau berkata akademi itu berperanan sebagai pusat latihan strategik untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor semikonduktor negara.
Menurutnya, kerajaan melalui Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) menyasarkan pelaburan sebanyak RM500 bilion menjelang 2030, termasuk melatih sekurang-kurangnya 60,000 jurutera dan juruteknik tempatan.
Beliau berucap merasmikan Karnival Industri dan Teknologi Semikonduktor (KITES 2025) di Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) JTM Kampus Taiping.
Penganjuran karnival itu bukan sahaja mengukuhkan ekosistem industri semikonduktor, malah menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab semikonduktor serantau.
Turut berlangsung pertukaran dokumen kerjasama antara ADTEC Taiping dan tujuh rakan strategik industri, bertujuan membuka lebih banyak peluang latihan, pemindahan teknologi dan penempatan pekerjaan kepada pelajar TVET.