fb fb fb fb fb

Usaha perkasa undang-undang syariah lebih berwibawa, konsisten

Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan/BERNAMA

SEREMBAN, 2 Oktober – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini melancarkan Garis Panduan Permohonan dan Pelaksanaan Waran Tangkap di Luar Bidang Kuasa yang boleh dilaksanakan di seluruh negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah itu sebahagian daripada usaha memperkasa undang-undang syariah agar lebih berwibawa dan konsisten di peringkat nasional.

“Tatacara bagaimana seseorang itu hendak ditangkap berada di bawah bidang kuasa negeri. Jika tiada usaha diambil untuk mengatasi isu ini, bagaimana kita mahu melaksanakan dan menguatkuasakan kesalahan syariah yang termaktub di bawah enakmen negeri.

“Ketika ini, ada pihak mengambil kesempatan menggunakan kelompongan undang-undang syariah, khususnya berkaitan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah, untuk melepaskan diri daripada kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Peringkat Kebangsaan 2025 di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Menurutnya, pelaksana undang-undang syariah juga perlu berdepan secara jujur dengan cabaran semasa, termasuk ketidakseragaman enakmen jenayah syariah antara negeri serta perubahan sosial masyarakat yang semakin tertumpu kepada penggunaan media sosial.

Konvensyen berkenaan yang bertemakan “Seiring Melangkah, Jenayah Dicegah” menghimpunkan hampir 200 peserta dari seluruh negara.

Turut hadir, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee; Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan, Datuk Kamal Bashah Datuk Ahmad Tajuddin; dan Pengerusi Rayuan Mahkamah Syariah Negeri Perak, Muhammad Taifor Ahmad Rusdi.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI