KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio bagi menuntut campur tangan Amerika Syarikat dan beberapa negara arab lain dalam usaha mendesak pembebasan semua aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera rejim Zionis Israel.
Beliau menerusi rakaman video di Facebook, menyifatkan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis ke atas aktivis antarabangsa itu juga menghalang bantuan kemanusiaan daripada sampai ke Gaza.
"Saya terus menghubungi Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani, Presiden Turkiye, Recerp Tayyip Erdogan.
"Kemudian petang ini saya akan menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah al-sisi dan bersama dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohammad Hassan akan menghubungi beberapa rakan lain termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio supaya mereka campur tangan untuk memastikan kebebasan semua yang ditahan oleh rejim Israel," katanya.
GSF, yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel serta menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.
"Apa yang didakwa kesalahan mereka adalah kerana keprihatian mereka atas prinsip kemanusiaan membantu yang lemah yang kelaparan yang sakit termasuk kalangan wanita dan kanak-kanak. Kalau itu tidak dapat dilakukan mana yang nilai kemanusiaan kita jadi tak berharga sama sekali," katanya lagi.