KUALA LUMPUR, 2 Oktober– Tindakan pegawai Kedutaan Amerika Syarikat (AS) enggan menerima memorandum semasa Himpunan Sumud Flotilla hari ini, berikutan bimbang terhadap faktor keselamatan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, memorandum tersebut hanya menggariskan tiga tuntutan utama, antaranya mendesak pembebasan segera semua sukarelawan yang ditahan, serta jaminan keselamatan peserta Misi Global Sumud Flotilla (GSF).
“Yang kedua adalah soal keselamatan mereka. Jaminan daripada sudut keselamatan perlu diberikan kerana mereka ini adalah aktivis tidak bersenjata. Tidak ada sebab untuk tentera rejim Zionis atau mana-mana pihak berasa terancam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Kedutaan AS, hari ini.
Beliau menambah, tuntutan ketiga adalah penolakan terhadap rancangan Washington untuk membina semula Gaza tanpa penglibatan penduduk tempatan, yang disifatkan bercanggah dengan hasrat rakyat Palestin.
Menurutnya, beliau sendiri telah cuba menghubungi pihak kedutaan untuk menyampaikan memorandum tersebut, namun ditolak pada saat akhir.
Bagaimanapun, penyerahan akan tetap diteruskan selepas solat Jumaat esok.
Perhimpunan yang berlangsung di ibu negara ini adalah bagi membantah tindakan Israel menahan 15 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF ke Gaza selepas kapal mereka dipintas Tentera Pertahanan Israel (IDF) awal pagi tadi.