fb fb fb fb fb

Usaha perkasa TVET terus diangkat sebagai agenda nasional

Foto Facebook Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 3 Februari- Usaha memperkasa Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus diangkat sebagai agenda nasional selaras hasrat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook menjunjung kasih atas keprihatinan Baginda terhadap usaha kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti dan berdaya saing melalui pemerkasaan TVET.

Menerusi hantaran itu, beliau turut menjunjung kasih Baginda atas perkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Kelima Belas hari ini.

"Seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku, adalah penting untuk semua memperkukuh keamanan dan menjaga kestabilan negara dengan memastikan Parlimen berfungsi sebagai platform semak dan imbang terhadap pentadbiran negara.

"Malah Tuanku turut menyeru agar Ahli Parlimen menjadi benteng perpaduan dan bukannya ejen perpecahan rakyat. Patik sekalian menjunjung titah seperti yang disarankan.

Dalam pada itu, beliau berkata sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan - Visit Malaysia Year 2026 (VM2026), usaha mempromosi budaya serta nilai murni Malaysia di peringkat antarabangsa akan terus dipergiat, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi dalam sektor pelancongan.

"Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sentiasa dikurniakan kesejahteraan, dilanjutkan usia, serta dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT.

"Menjunjung kasih, Tuanku", katanya menerusi hantaran tersebut.

ROSLINA BINTI DIN