fb fb fb fb fb

Ahli parlimen perlu elak politikkan semua isu demi kepentingan parti

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 3 Februari- Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) menjunjung dan menyokong titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar ahli parlimen mengelak daripada mempolitikkan setiap isu demi kepentingan parti.

BBC dalam satu kenyataan memaklumkan, wakil rakyat bertanggungjawab memastikan perbahasan di Parlimen kekal konstruktif, berasaskan data, serta tertumpu kepada kemajuan negara, bukan naratif politik memecahbelahkan.

"BBC memainkan peranan penting dalam memastikan semak dan imbang dalam kerajaan, bagi menjamin dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

"Ini termasuk menyuarakan kebimbangan, memberikan maklum balas, dan mengkritik dasar kerajaan secara membina apabila perlu. Namun, seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda, tanggungjawab ini harus dilaksanakan dengan penuh tertib, berpandukan fakta serta kepentingan negara, bukan retorik politik semata-mata," menurut kenyataan itu.

BBC terus proaktif dalam memperkukuh kualiti perbincangan serta keterlibatan ahli parlimen dalam usaha membina budaya Parlimen lebih matang dan bertanggungjawab.

Platform seperti Sarapan Bersama Menteri, Friends of Ministry, dan taklimat Parlimen lebih tersusun dapat membantu ahli parlimen menyampaikan maklumat dasar kepada rakyat secara lebih jelas dan berkesan.

Ia sekali gus mengelakkan kekeliruan dan mengurangkan unsur sensasi politik yang tidak wajar.

"Seiring dengan visi Seri Paduka Baginda, kami menyeru semua ahli parlimen, tanpa mengira latar politik, untuk bersama-sama menjunjung integriti Parlimen, mengangkat perbahasan yang berasaskan fakta, serta mengutamakan kepentingan negara melebihi segala-galanya.

"Marilah kita bekerjasama untuk memperkukuh institusi demokrasi dan membina Malaysia yang lebih progresif, inklusif, dan bersatu padu," tambah kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI