HULU TERENGGANU, 3 Februari- Hampir 40 peratus daripada 3,900 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Terengganu mempunyai kadar Indeks Jisim Badan (BMI) berlebihan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan kadar BMI 28 sebagai salah satu syarat untuk kenaikan pangkat bermula 1 Januari lalu.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, pegawai dan anggota yang mempunyai berat badan berlebihan perlu berusaha menurunkannya, meskipun tiada tempoh ditetapkan.
Ia bagi memastikan mereka berpeluang mendapat pelbagai kelebihan termasuk kenaikan pangkat termasuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).
"Kita di Kontijen Terengganu mengadakan pelbagai usaha bagi memberi semangat untuk mengurangkan kadar BMI. Kita melaksanakan aktiviti seperti riadah, berbasikal, apa sahaja aktiviti sukan atau pun berjoging, mendaki bukit.
"Itu adalah usaha-usaha kita sebagai pucuk pimpinan menyokong usaha-usaha tersebut bagi memastikan BMI mereka atau warga PDRM adalah 28.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Deputi Superintenden (DSP) Zainul Mujahidin Mat Yudin dan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu yang baharu Superintenden Sharudin Abdul Wahab di Hulu Terengganu.
Deputi Superintenden Zainul Mujahidin akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.
Pada majlis itu juga turut berlangsung Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu diantara DSP Raja Maznah Raja Ghazali kepada Pengerusi yang baharu Asisten Superintenden (ASP) Tuan Rosnah Tuan Hussain.