fb fb fb fb fb

Usaha perangi jenayah dalam talian dipergiat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said/BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 Disember- Kerajaan Perpaduan sedang mempergiat usaha bagi memerangi jenayah dalam talian melalui reformasi perundangan selaras dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said menerusi satu kenyataan berkata, satu mesyuarat telah diadakan bersama kementerian dan agensi bertanggungjawab yang bertujuan meneliti cabaran dan undang-undang sedia ada berhubung ancaman jenayah dalam talian.

Beliau berkata usaha itu juga bagi mengenalpasti langkah perundangan yang komprehensif yang boleh diambil bagi membanteras jenayah tersebut.

Selain itu, kerajaan akan menjalankan satu kajian menyeluruh termasuk kajian perbandingan dan konsultasi awam bagi memerangi jenayah dalam talian.

Datuk Seri Azalina berkata kajian itu akan dilaksanakan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dalam tempoh tiga bulan mulai Januari depan.

Katanya, setakat 30 November tahun ini, sebanyak RM173.34 juta kerugian dilaporkan.

Sebanyak 8,213 kertas siasatan dari NFCC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah dibuka melibatkan pelbagai peruntukan antaranya 529 akaun yang dibekukan dengan nilai RM65.9 juta.

ROSLINA BINTI DIN