fb fb fb fb fb

FINAS bakal bergerak lebih progresif, tambah baik pemasaran

FINAS juga bakal bergerak lebih progresif untuk membawa filem-filem Malaysia ke peringkat global termasuk ke rantau Asia Tenggara / Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 20 Disember - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal memberi fokus terhadap aspek pra-produksi terutama penghasilan skrip yang berkualiti dan aspek pemasaran.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata perkara itu antara beberapa perkara utama yang dibincangkan Kementeriannya bersama FINAS , baru baru ini.

Beliau berkata, FINAS juga bakal bergerak lebih progresif untuk membawa filem-filem Malaysia ke peringkat global termasuk ke rantau Asia Tenggara.

Selain itu katanya, program pemasaran juga perlu ditambahbaik untuk memastikan hasil kutipan lebih baik.

"Saya juga lihat ada keperluan untuk FINAS meneliti, membawa filem-filem di Malaysia keluar ke platform-platform atau pasaran filem terutama di rantau Asia Tenggara tapi juga lebih jauh dari itu.

"Salah satu cabaran yang dihadapi oleh para penerbit ialah mengumpulkan dana untuk membawa filem ke luar. Jadi saya lihat FINAS sebelum ini pernah menyatakan kesediaan untuk membawa filem-filem dan saya rasa ini langkah yang positif," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023, di sini.

Fahmi turut menyifatkan tahun 2023 sebagai tahun yang cemerlang dengan kejayaan 30 buah filem tempatan berjaya menembusi beberapa festival filem antarabangsa dan meraih kejayaan.

Antaranya di Itali, Amerika Syarikat dan Korea.

"Di peringkat pasaran domestik, kutipan pecah panggung bagi filem tempatan hingga kini ialah sebanyak RM98.8 jut melibatkan tayangan 56 buah filem," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN