KUALA LUMPUR, 20 Disember- Pengambilan vaksin COVID-19 pada masa ini adalah secara sukarela.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Dzulkefly Ahmad berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan pengambilan vaksin COVID-19 terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas atau individu yang mempunyai komorbiditi.
Beliau berkata vaksin COVID-19 yang tersedia di negara ini berkesan untuk melindungi daripada komplikasi yang teruk sekiranya dijangkiti.
"KKM menyarankan setiap warga Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab untuk melindungi diri daripada jangkitan dan tidak menularkan COVID-19 kepada orang lain dengan mengamalkan 3W (amalkan Wash, Wear dan Warn) dan mengelakkan 3S (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat", katanya menerusi satu kenyataan.
Untuk mendapatkan vaksin COVID-19, orang ramai boleh mendapatkan senarai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di dalam aplikasi MySejahtera.
Tatacara untuk mendapatkan senarai PPV yang memberikan vaksinasi COVID-19 adalah melalui fungsi fasiliti kesihatan di aplikasi MySejahtera.
"Manakala bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, orang ramai boleh hadir ke PPV yang tersenarai secara walk-in atau membuat janji temu menggunakan aplikasi MySejahtera sebagaimana tatacara tempahan yang dibuat semasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini.
"Sehingga kini, tatacara untuk mendapatkan tempahan janji temu di PPV menggunakan aplikasi MySejahtera", katanya.
Sehingga hari ini, terdapat 234 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan seluruh Negara. KKM akan mengemaskini maklumat tersebut dari semasa ke semasa, sekiranya terdapat pertambahan atau perubahan kepada bilangan PPV.