fb fb fb fb fb

Sindiket perbaharui permit kerja, 3 warga asing ditahan

Antara pasport yang dirampas menerusi Ops Serkap

JOHOR BAHRU, 20 Disember- Tiga lelaki warga asing ditahan Imigresen Johor menerusi Ops Serkap dipercayai terlibat sindiket memperbaharui permit kerja secara penipuan di sekitar kawasan Tampoi, Johor Bahru, petang semalam.

Salah seorang  suspek berusia 26 tahun disyaki menjadi ejen sindiket, manakala dua lagi suspek dipercayai sebagai penghantar dokumen.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahar berkata, sindiket menggunakan modus operandi dengan mengumpul pasport warga asing daripada rumah ke rumah.

Sindiket dipercayai mengenakan caj bayaran sekitar RM6,500 bagi satu permohonan.

"Salah satu modus operandi sindiket ini ialah mencari dan mengumpul pasport dari rumah ke rumah kumpulan sasaran sindiket tersebut.

"Sasaran sindiket ini adalah warga asing yang mempunyai masalah permohonan lanjutan permit kerja serta pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0", katanya.

JIM Johor merampas lima pasport antarabangsa, sebuah komputer riba, sebuah cakera keras, sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM2,058.

Turut disita, sebuah kenderaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), selain disiasat mengikut Seksyen 12(1)(1) Akta Passport 166 (Akta 150) dan Seksyen 56(1A)(c) akta yang sama.

ROSLINA BINTI DIN