fb fb fb fb fb

RM250,000 diperuntuk bantu nelayan hadapi MTL

Foto hiasan

PASIR PUTEH, 20 Disember- Sebanyak RM250,000 diperuntuk bagi bantuan makanan kepada nelayan terutama nelayan zon A, sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Bantuan itu membabitkan 9,000 nelayan di sekitar Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil, berkata bantuan tersebut diberikan dari semasa ke semasa khususnya kepada nelayan yang tidak dapat  ke laut.
 
Selain itu, LKIM sedang dalam usaha mentrasformasikan minda nelayan daripada mengunakan bot jenis A kepada bot jenis C dan C2. Bot berkenaan mempunyai kemampuan untuk ke laut walaupun pada musim MTL.

"Bagi golongan bot di zon C atau C2 mereka masih boleh ke laut sebab kapal mereka besar, sebab itu saya sentiasa mengalakkan tranformasi dalam kalangan nelayan untuk mengubah saiz bot mereka kepada A ke B atau C 2 supaya mereka ada kemampuan bukan sahaja mendapat tangkapan yang banyak, tapi juga kemampuan ke laut walau semasa musim monsun", katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Rahmah Mesra MADANI Libat Urus Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Negeri Kelantan di Dewan Persatuan Nelayan Semerak, Pasir Puteh.

Muhammad Faiz berkata, nelayan juga dibantu menerusi elauan sara hidup RM300, modal bantuan Agrobank dan pusat latihan perikanan di Chendering, Terengganu bagi mempelajari pengurusan bot dan vessel lebih besar seperti bot jenis C dan C2.

Katanya, nelayan perlu mempunyai iltizam dan mengubah minda untuk menjana pendapatan yang lebih baik.

Dalam pada itu, Sejak 2013, LKIM membelanjakan lebih RM211 juta bagi membaik pulih lebih 20,000 rumah nelayan dan membina 257 rumah nelayan dengan peruntukan lebih RM16 juta.

ROSLINA BINTI DIN