PUTRAJAYA, 5 Oktober- Usaha mempertingkat kesedaran, pencegahan dan diagnosis atau saringan awal kanser dalam kalangan rakyat perlu diperkukuh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru seluruh masyarakat bersama-sama merai, menyokong serta menghayati semangat 'Pink Oktober' untuk mewujudkan kesedaran terhadap kepentingan menjadikan Malaysia sebagai negara yang sihat.
Paling penting, menjayakannya sebagai salah satu agenda ke arah membina masyarakat yang menyedari kepentingan mencegah kanser serta membudayakan gaya hidup sihat untuk kekal sihat, cergas dan cerdas.
"Budaya hidup sihat patut direncanakan menjadi agenda utama negara kita, bukan saja di peringkat kementerian, bukan saja di peringkat swasta, tetapi lebih penting ialah ianya menjadi budaya kehidupan kita semua.
"Jaga pemakanan kita, gaya hidup kita untuk kita sentiasa mengusahakan supaya badan kita ini bukan saja cergas, bukan sahaja cerdas, tapi tubuh badan kita, luar dan dalam adalah berada dalam keadaan yang terbaik. Jadi caranya ialah jaga pemakanan, banyakkan 'exercise' dan sebagainya.
Datuk Seri Fadillah berucap merasmikan Karnival Pink October 2024 di Institut Kanser Negara, Putrajaya.
Karnival bertemakan 'Living Well, Living Together', bertujuan mengangkat nilai kesedaran, kekuatan dan kebersamaan.
Pink Oktober adalah inisiatif global yang menekankan mengenai kesedaran dan kepentingan pencegahan kanser payudara, yang dirai pada bulan Oktober setiap tahun sebagai bulan kesedaran kanser payudara di seluruh dunia.