fb fb fb fb fb

Kerajaan fokus isu tatakelola, pastikan bantuan sampai kepada golongan sasar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada majlis Syarahan Za'ba Seabad Pemikir Kemiskinan dan Hari Akademia Negara di UPSI/ BERNAMA

TANJONG MALIM, 5 Oktober- Kerajaan memfokuskan kepada isu tatakelola bagi memastikan bantuan kepada golongan miskin sampai kepada sasaran. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ia melibatkan usaha pelbagai dimensi dalam memerangi masalah tersebut.

Beliau berkata, walaupun terdapat pelbagai agensi di negara ini yang ditubuhkan bagi membantu dan melaksanakan program membasmi kemiskinan, namun masih terdapat ketirisan menyebabkan bantuan tidak sampai kepada golongan sasar.

"Yang ini cuba saya lakukan walaupun kadang-kadang tidak menyenangkan sesetengah pihak. Berapa banyak agensi baru-baru ini saya sergap (serang) dan batalkan lawatan. Agensi-agensi yang diamanahkan untuk membantu rakyat kemudian ambil kesempatan", katanya.

Katanya, ia susulan terdapat agensi kerajaan yang tidak diurus dengan telus dan bertangggungjawab. 

Tambahnya, kerajaan membelanjakan sebanyak RM22 bilion setahun bagi tujuan membasmi kemiskinan dan jika jumlah itu berjaya diurus dengan baik, ia mampu menyelesaikan isu kemiskinan di negara ini. 

Datuk Seri Anwar berucap pada Majlis Syarahan Za'ba Seabad Pemikir Kemiskinan dan Hari Akademia Negara di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

ROSLINA BINTI DIN