KUALA LUMPUR, 22 Mei- Usaha memartabatkan bahasa, sastera dan budaya harus menjadi keutamaan demi pemerkasaan ketamadunan bangsa dan negara secara holistik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merujuk pemerkasaan dalam penguasaan pelbagai bahasa yang baik serta memartabatkan karya-karya besar berkaitan bahasa, sastera dan budaya.
Menurut Datuk Seri Anwar, sesebuah negara yang hebat tidak meninggalkan jati diri, maruah dan nilai ketamadunan bangsa menerusi penguasaan bahasa, sastera dan budaya di samping penguasaan dalam bidang ekonomi dan teknologi arus perdana.
"Apabila kita berbicara tentang kebangkitan Asia, tentang ASEAN Renaissance, tentang Nasdaq Asia, pemerkasaan ekonomi perlu menjadi asas dan tunjang utama. Ini kerana kekuatan ekonomi dan kestabilan kewangan adalah keutamaan. Ia merupakan faktor utama yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah.
"Namun, elemen kemanusiaan juga harus diberi perhatian. Manusia tidak hidup semata-mata dengan kekuatan ekonomi. Justeru, lahirlah keperluan untuk memperkasa aspek budaya, seni, bahasa, dan warisan... sebagai pelengkap kepada pembangunan yang seimbang dan menyeluruh.
"Saya ungkapkan falsafah MADANI bagi negara kita, yang memberikan pengertian yang lebih jelas tentang erti atau memaknai pertumbuhan kemajuan dan pembangunan negara.
"Harus mampan kerana ciri 'sustainability' itu terutamanya dalam bidang ekonomi harus menjadi paksi... tetapi sebagai manusia dan sebagai negara yang mengangkat martabat dan tamadunnya, maka pemerkasaan... memartabatkan bahasa harus diberikan keutamaan, sastera, seni, budaya", katanya.
Beliau berucap melancarkan Hadiah Bahasa 2025 Public Bank-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara.