fb fb fb fb fb

Usaha kurangkan kesesakan di Tambak Johor, Linkedua berjaya - Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 16 Julai - Usaha kerajaan Johor menyuraikan kesesakan trafik di Tambak Johor dan Linkedua di Iskandar Puteri sejak Januari lalu berjaya menjimatkan masa sekurang-kurangnya dua jam perjalanan dari Johor ke Singapura.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pencapaian itu hasil kerjasama semua pihak yang turut melancarkan operasi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

Katanya, sebelum ini kesesakan yang berlaku menyebabkan perjalanan memasuki Johor melalui Tambak Johor dan Linkedua mengambil masa empat jam.

(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi)

"Kalau kita hendak memacukan ekonomi negeri Johor, kita perlu memastikan bahawa hubungan atau kesinambungan di antara Johor dan Singapura ini berjalan dengan baik dan lancar.

"Selain kita lihat kebajikan orang Johor, rakyat Malaysia berulang alik setiap hari kita juga hendak menarik pelancong," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Jenis C Tanjung Senibong di Pangsapuri Tanjung Senibong, di sini.

Tambah Onn Hafiz, perkembangan positif itu turut membantu dalam memacu ekonomi dan meningkatkan keyakinan pelabur serta pelancong.

Katanya, sektor hartanah juga mendapat impak positif dan dijangka berkembang dalam masa satu atau dua tahun ini sekali gus membantu kerajaan negeri mengatasi isu lambakan hartanah tidak terjual.

Media Baharu