(Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Fahmi Fadzil dan Datuk Seri Saarani Mohamad menyempurnakan gimik Pelancaran Bulan Kebangsaan 2023 di Ipoh/BERNAMA)
IPOH, 16 Julai- Keharmonian negara harus sentiasa dipelihara tidak kira antara wilayah mahupun kaum.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ia perlu terus utuh terutamanya dalam usaha kita merungkai isu-isu pokok yang merundung negara.
Beliau berkata permasalahan rakyat yang saban hari terpaksa bergelut dengan peningkatan kos sara hidup kini sedang ditekuni secara menyeluruh.
(Datuk Seri Fadillah Yusof menurunkan tandatangan pada lukisan
mural Malaysia Madani di Ipoh/BERNAMA)
"Bak peribahasa Melayu, bagai jawi makan, dimamah dahulu baru ditelan, di mana segala inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan hari ini telah dirancang dengan teliti untuk memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam mengecapi kesejahteraan dan terus terpelihara kebajikannya", katanya dalam ucapan perasmian pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini hari ini.
Teks ucapan tersebut dibaca oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Perdana Menteri bagi merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang bagi tahun 2023 di Ipoh, Perak.
Jelasnya lagi dalam membantu rakyat mendepani situasi ini kerajaan telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan kehidupan rakyat berada di tahap yang selesa.
Pelbagai inisiatif melalui kerjasama strategik antaranya inisiatif kos sara hidup dan bantuan Sumbangan Tunai Ramah bagi memastikan bebanan rakyat dapat dibantu.
Kerajaan juga mengambil langkah serampang dua mata untuk menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan B40, pada masa yang sama berusaha untuk menyelesaikan masalah ekonomi harian melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Sekurang-kurangnya 100,000 peserta daripada isi rumah miskin tegar, miskin dan B40 akan dibantu menerusi inisiatif tersebut.