fb fb fb fb fb

"Urusan pentadbiran kerajaan tidak akan terganggu sekiranya PRU DUN Johor dilaksanakan" - Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU, 20 Januari - Urusan pentadbiran dan pelbagai program yang dirancang Kerajaan Johor tidak akan terganggu, jika Pilihan Raya Umum (DUN) Johor diadakan dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata ia termasuk inisiatif yang dibentang dalam Belanjawan Johor 2022.

"Saya beri jaminan kepada semua yang hadir sekiranya kerajaan membuat keputusan mengadakan pilihan raya negeri, urusan kerajaan tidak akan terganggu dan program berjalan seperti biasa. Tidak mengganggu apa-apa yang sudah dirancang," katanya dalam ucapan semasa merasmikan Zon Dron dan Robotik Iskandar di Iskandar Puteri, di sini.

Kenyataan itu sekali gus mengukuhkan khabar angin Johor bakal berdepan PRU DUN Johor dalam waktu terdekat selepas kedudukan kerajaan negeri goyah dengan hanya majoriti satu kerusi DUN, 28 berbanding 27 kerusi pembangkang.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang akan mengikut sebarang keputusan dibuat Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berhubung pembubaran DUN Johor.

Ini kerana kuasa pembubaran DUN terletak pada Menteri Besar, dengan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Saya fokus dengan saki baki tanggungjawab saya selagi saya bergelar EXCO kerajaan, saya kurang berpolitik dalam keadaan langkah menstabilkan politik, keduanya untuk memakmurkan Johor dari segi ekonomi dan kebajikan. Rakyat Johor adalah keutamaan," katanya kepada pemberita.

Beliau turut mempertimbangkan untuk bersara daripada politik, sekiranya PRU DUN Johor diadakan, memandangkan sudah kurang aktif dalam partinya, BERSATU.

Tumpuannya kini pada tugas-tugas di bawah portfolionya, dan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat negeri, beliau hanya menurut dan akur dengan keputusan dibuat Menteri Besar.

ADUN Puteri Wangsa itu turut menolak andaian segelintir pihak yang mendakwa dia bakal keluar daripada BERSATU.

Media Baharu