PUTRAJAYA, 20 Januari - Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan mengenai menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang didakwa hanya menyediakan nasi putih dan kuah kepada murid-murid sekolah seperti ditularkan di media sosial.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata beliau turut mengarahkan supaya sekolah terlibat dikenal pasti.
"Saya memandang serius dakwaan tersebut dan telah arahkan supaya siasatan lanjut dibuat, termasuk mengenal pasti sekolah yang terlibat.
"KPM tidak berkompromi dalam hal yang melibatkan kebajikan murid," katanya dalam catatan di akaun Facebooknya.
Semalam, tular satu kiriman seorang pemilik Facebook berserta gambar yang dimuat naik mendakwa cucu saudaranya hanya menerima menu RMT sedemikian.
Pemilik Facebook itu juga mempersoalkan sama ada peruntukan RMT terlalu sedikit sehingga pengusaha kantin menyediakan menu makanan tambahan tersebut kepada murid-murid sekolah rendah.