fb fb fb fb fb

Bunuh lelaki di kolam ikan, dua rakan berdepan hukuman gantung jika sabit kesalahan

TAPAH, 20 Januari - Mahkamah Majistret Tapah menetapkan 21 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dua rakan yang menghadapi pertuduhan membunuh seorang lelaki, di Bidor pada September tahun lalu.

Majistret Siti Hanum Mohmad Sah menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria untuk menangguhkan kes sementara menunggu laporan kimia dan forensik.

Mengikut pertuduhan, tertuduh Anbu a/l Manikam, 30 tahun dan Mageswaran a/l Narayanasamy, 31 tahun telah membunuh Gunaselan a/l Duray Ragh, 30 tahun pada 13 September 2021 di kolam ikan Kampung Poh, Bidor.

Kedua-dua tertuduh mengaku faham terhadap pertuduhan yang dibacakan serentak di hadapan mereka namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Tertuduh pertama, Anbu diwakili peguam J.Gunamalar manakala tertuduh kedua Mageswaran tidak diwakili peguam.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

 

Media Baharu