fb fb fb fb fb

Anak-anak kita bukan 'tikus makmal' - Fadhlina

Fadhlina Sidek

PUTRAJAYA, 23 September- Keputusan untuk mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak boleh dilihat daripada satu sudut sahaja, jelas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sambil menekankan perlunya pendekatan yang holistik dalam membuat penilaian.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kekal dengan keputusan untuk memansuhkan kedua-dua peperiksaan tersebut buat masa ini.

"Anak-anak kita bukan tikus makmal yang kita nak kena ulang kaji mereka, sekejap exam (peperiksaan) sekejap tidak exam. Ketetapan perlu ada, dan kita telah melakukan pelbagai penegasan semula khusus untuk memperkukuh Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) serta memberikan latihan kepada guru, bagi memastikan tiada faktor yang akan menjejaskan kemajuan murid, terutama dalam pendidikan kebangsaan," katanya.

Katanya, KPM kini lebih memberi tumpuan kepada pendekatan baharu termasuk kurikulum persekolahan 2027 dan merangka pelan pembangunan pendidikan bermula tahun 2026.

KPM juga akan melaksanakan beberapa insiatif untuk menangani isu murid keciciran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan meneliti tiga faktor utama yang menyebabkan masalah tersebut iaitu berhenti sekolah, dibuang sekolah dan telah bekerja.

Justeru, intervensi lain termasuk program Gempur Kehadiran SPM, Psikometrik Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Minda Sihat, Jejak SPM, Bengkel Pemantapan Intervensi, Pemerkasaan Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK), Karnival Pendidikan dan Kerjaya, Program Kolaboratif dan Dashboard Calon SPM.

Fadhlina ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan KPM di Dewan Damar di sini hari ini.

SITI AISHAH MD ISA