TANJUNG MALIM, 25 Julai - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menandatangani Surat Niat (Lol) bersama Universiti Al-Iraqia hari ini bagi menjalin kerjasama terutama dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Prof Dr. Suriani Abu Bakar berkata hubungan antara UPSI dengan institusi pendidikan terutama dari Iraq adalah sangat bermakna dalam memacu sektor pendidikan bersama.
“Melalui kepakaran dan kekuatan dari kedua-dua pihak, kita berupaya memulakan projek penyelidikan, meningkatkan kualiti pendidikan dan menyumbang kepada kemajuan pengetahuan dan inovasi di negara kita sendiri.
“UPSI komited untuk memupuk perkongsian global dan melibat diri dengan institusi yang dihormati seperti Al-Iraqia University bagi mewujudkan persekitaran akademik yang dinamik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Timbalan Naib Presiden Hal Ehwal Saintifik, Universiti Al-Iraqia, Prof Dr. Khamis Awad Zidan berkata mereka teruja untuk menjalin kerjasama bersama UPSI.
“Melalui inisiatif penyelidikan bersama, program pertukaran pelajar dan fakulti atau projek akademik kolaboratif akan mengukuhkan dan menyumbang kepada penambahbaikan institusi kami,” katanya.
Majlis berlangsung di Bilik Mesyuarat Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI.
Kunjungan rasmi dari Universiti Al-Iraqia serta Kedutaan Iraq turut menyaksikan sesi perkongsian maklumat bersama FSM dan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK).