fb fb fb fb fb

Jalan raya berkembar simpang Bau-Lundu dijangka siap Jun 2026

Jalan Bau-Lundu

BAU, 25 Julai - Projek menaik taraf jalan raya berkembar dari simpang Bau-Lundu ke Pekan Bau fasa satu dijangka siap pada Jun 2026.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Insinyur Aidel Lariwoo berkata, projek yang bermula Februari lepas itu merangkumi kerja-kerja naik taraf jalan raya tunggal sedia ada standard R5 Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada jalan raya berkembar standard U5 JKR sepanjang 3.65 kilometer dengan jumlah kontrak sebanyak RM74 juta.

Jalan berkembar itu hampir bersamaan Lebuh Raya Pan Borneo dan bersambung dari Lebuh Raya Pan Borneo terus ke Pekan Bau.

"Sekarang ini kerja-kerja mengalami sedikit kelewatan dari jadual kerana menghadapi beberapa masalah utiliti iaitu bekalan air, tiang elektrik, telefon dan banyak struktur rumah penduduk yang terlibat dalam pembinaan jalan yang sedang dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam lawatan kerja di lokasi projek tersebut.

Dalam pada itu, beliau percaya pihak JKR bekerja keras menyelaras bersama Jabatan Tanah dan Survei dan agensi-agensi utiliti terlibat dalam menangani isu utama berkenaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN