KUALA LUMPUR, 25 Julai - Kerajaan dilihat komited dalam menangani kes jenayah siber yang semakin berleluasa.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Sirajuddin Jalil berpandangan ia dibuktikan melalui langkah-langkah kerajaan dengan meneliti serta mengambil tindakan segera dalam aspek siasatan serta pendakwaan kes-kes jenayah siber.
"Usaha yang telah dibuat oleh kerajaan hari ini sangat serius melalui beberapa polisi yang dibentuk dimana Akta Keselamatan Siber berjaya dibentuk pada Sidang Parlimen lepas. Berkenaan penubuhan Kementerian Digital, itu juga langkah proaktif kerajaan dalam mengekang isu terkait jenayah siber.
"Perlu ada satu usaha yang berterusan dan lebih lagi kerana aspek jenayah siber ini tidak terbantut, ia sentiasa berevolusi dan tahap evolusi itu juga selari dengan perubahan teknologi," katanya kepada RTM.
Sirajuddin turut menegaskan, masyarakat perlu memainkan peranan sewajarnya dan menggunakan platform media sosial dengan lebih bertanggungjawab.