fb fb fb fb fb

Anwar umum sumbangan RM1 juta kepada NCCIM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

Anwar berkata pemberian sumbangan itu sebagai tanda penghargaan kepada pihak NCCIM yang sentiasa menyokong dan menggalakkan pelaburan domestik dan antarabangsa.

“Oleh kerana sumbangan yang sudah diberikan itu sangat baik, saya perlu mengiktiraf sumbangan besar anda (NCCIM) terhadap usaha kerajaan dalam menggalakkan pelaburan dari luar negara, selain menyalurkan dana untuk tujuan tersebut.

"Apa yang kita capai setakat ini sama ada pertumbuhan yang membanggakan, pelaburan tinggi, domestik dan antarabangsa dan juga kawalan tentang inflasi, pengangguran yang rendah, latihan anak-anak muda dari pelbagai bidang termasuk digital AI semua ini tidak mungkin berjaya dengan sokongan rakan-rakan yang terlibat dalam perusahaan perniagaan dan rakan-rakan dalam NCCIM.

"Jadi saya datang untuk menyatakan penghargaan," katanya ketika menghadiri Majlis Gala Tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) ke-62 di Petaling Jaya, malam tadi.

Turut hadir Menteri Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tambahnya, kerajaan juga akan mempertimbang cadangan yang dikemukakan NCCIM meliputi transisi tenaga dan sekuriti makanan dalam Belanjawan 2025 yang dijadual pada Oktober ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, semua pihak tidak boleh leka dengan kestabilan politik yang wujud pada ketika ini.

Sebaliknya beliau berkata, kestabilan itu perlu digunakan untuk perubahan antaranya reformasi institusi termasuk melaksanakan dasar tidak popular yang mana ia penting untuk memastikan kejayaan negara.

"Dasar yang tidak popular itu termasuklah tarif elektrik (penyelarasan) dan rasionalisasi, tetapi ia perlu dilakukan.

"Rasionalisasi itu baik untuk ekonomi namun sukar dari aspek politik, tetapi untuk menyelamatkan negara daripada ketirisan yang menyebabkan kehilangan berbilion ringgit kita perlu lakukannya," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN