TANJUNG MALIM, 12 Jun -Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), melancarkan aplikasi GeoAttendance bagi memantapkan sistem kehadiran staf dan pelajar.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff penggunaan aplikasi itu akan menjimatkan masa pengguna dan sangat mudah digunakan selain boleh dilaksanakan oleh mana-mana agensi.
"Sistem ini efisyen untuk pengurusan kehadiran harian ke pejabat dan aktiviti rasmi universiti menggunakan aplikasi mobil berikutan diintegrasikan dengan teknologi Global Positioning System (GPS)," katanya ketia berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 dan Perhimpunan Bulanan UPSI Bulan Jun 2024 di Dewan Tuanku Canselor UPSI dan turut menyempurnakan gimik perasmian aplikasi tersebut.
Tambahnya UPSI menjadi Universiti Awam pertama mengintegrasikan aplikasi mobil untuk merekodkan kehadiran harian dan aktiviti dalam universiti secara GPS, sekali gus membolehkan data kehadiran terus dimuat naik dalam pangkalan data utama universiti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Digital, Ts Dr Megat Azrin Ahmad berkata GeoAttendance ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan pemalsuan lokasi GPS oleh pengguna.
Beliau berkata inovasi yang dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman ini selaras dengan pendigitalan proses kerja di UPSI.
Penggunaan GeoAttendance ini, merupakan alternatif bagi menggantikan kaedah merekod kehadiran harian menggunakan kad pintar dan kod QR sebelum ini.
Menurut beliau setiap pentadbir program juga boleh mengaplikasikan GeoAttendance ini bagi tujuan merekod kehadiran aktiviti atau program universiti menerusi aplikasi mobil universiti iaitu Quick And Response Integrated System (MYQRIS).
"Inovasi yang dilaksanakan ini turut memberi manfaat kepada warga UPSI serta mengalu-alukan kolaborasi dengan mana-mana agensi untuk mendapatkan maklumat dan melaksanakan aplikasi ini," tambahnya.