fb fb fb fb fb

20 lokasi utama kebakaran tanah gambut dikenal pasti

PPjB Mohamad Shoki Hamzah

KUALA LUMPUR, 12 Jun- Seramai 23,566 anggota melibatkan 338 balai bomba dan 358 balai pasukan bomba sukarelawan (PBS) bersiap sedia untuk menghadapi monsun Barat Daya.

Dalam pada itu 20 lokasi utama kebakaran tanah gambut telah dikenal pasti melibatkan tujuh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Di semenanjung melibatkan Selangor, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, (JBPM) PPjB Mohamad Shoki Hamzah berkata, JBPM seluruh negara sentiasa berada dalam kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk monsun Barat Daya yang dijangka berlaku sehingga September depan.

"Kita telah mengarahkan setiap negeri buat pemantauan ataupun rondaan ke lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai titik panas ataupun kawasan yang mudah berlakunya kebakaran.

"Musim monsun Barat Daya kita berikan tumpuan contohnya pam untuk tanah gambut, ada pam angkut. Kita juga buat kolaborasi dengan agensi-agensi lain untuk mendapatkan sumber air tersebut," katanya selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media di ibu negara.

Pada masa sama beliau juga mengingatkan orang ramai terutama golongan petani untuk mengawal aktiviti pembakaran terbuka terutama dalam keadaan cuaca panas ketika ini.

Tindakan seumpama itu sangat berisiko menyebabkan kebakaran besar berlaku, sekali gus boleh mengundang kerosakan harta benda dan keselamatan orang ramai.

"Jadi kalau boleh, perlu ada pengawalan untuk melakukan pembakaran. kita faham sekiranya untuk melakukan pembakaran ia tidak dilakukan ketika musim hujan, mesti tunggu musim kemarau. Jadi untuk pembakaran perlu ada kawalan, sekiranya tidak dikawal ia akan terus berulang," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI