MEKAH, 12 Jun- Persediaan operasi Masyair oleh Lembaga Tabung Haji (TH) siap sepenuhnya bagi menyambut ketibaan jemaah Malaysia di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, pergerakan pada Jumaat ini merupakan yang terbesar di dunia dengan hampir dua Juta umat Islam bergerak ke destinasi yang sama.
Beliau juga menjelaskan perkhidmatan sokongan seperti perubatan juga berada pada tahap terbaik menjelang operasi di Masyair nanti.
"Saya dimaklumkan bahawa Tabung Haji sentiasa mengamalkan penambahbaikan berterusan untuk memastikan kecemerlangannya.
"Banyak inisiatif baharu telah dapat dilaksanakan dengan jayanya pada musim haji ini dan saya pasti para jemaah haji insya-Allah akan mendapat manfaat daripadanya," katanya dalam sidang media di bangunan Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji Mekah, di sini.
Jemaah Malaysia juga diingatkan supaya terus mengekalkan disiplin, berakhlak baik dan sentiasa menjaga nama baik negara semasa melakukan ibadah haji terutama sewaktu wukuf.