fb fb fb fb fb

Kerajaan perkenal mekanisme interim pembayaran semula SKDS 2.0

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Jun- Kerajaan memperkenal mekanisme interim pembayaran semula secara tunai kepada pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, tetapi belum mendapat fleet card.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah dalam satu kenyataan berkata, pemilik kenderaan logistik boleh memohon pembayaran semula bermula 1 Julai depan, melalui portal BUDI MADANI.

"Kerajaan mahu pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel berjalan dengan lancar dan akan sentiasa memantau perkembangan aktiviti sektor logistik kerana dengan pelaksanaan SKDS 2.0, tiada sebab munasabah untuk mereka bertindak menaikkan harga yang boleh mengesankan rakyat.

"Pembayaran semula secara tunai ini ialah langkah sementara Kerajaan untuk terus membantu pembekal perkhidmatan logistik supaya tidak terkesan dengan perubahan harga runcit diesel," katanya.

Bagaimanapun pemohon perlu menyimpan resit pembelian diesel untuk tujuan audit.

Mekanisme itu merupakan kaedah sementara untuk menampung perbezaan harga antara harga runcit diesel baharu iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter.

Selain itu ia bertujuan menampung perbelanjaan tambahan pemohon, sehingga menerima kad fleet atau bagi tempoh maksimum dua bulan.

Semua pemilik kenderaan logistik yang diluluskan, disaran memohon segera kad fleet card melalui portal mysubsidi.kpdn.gov.my.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI