TANJONG MALIM, 3 Oktober- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama-sama Excelerate menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan Program Pembangunan K-Youth.
Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff dalam satu kenyataan berkata, universiti itu menyambut baik hasrat kerjasama berkenaan sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.
Pada masa sama Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan UPSI (EDGE) bekerjasama dengan 10 fakulti komited mengenal pasti dan mewujudkan peluang untuk pelajar UPSI bagi memperoleh kemahiran dan pengalaman pihak industri.
"Melalui usaha sama dengan Excelerate membolehkan kami menawarkan latihan terkini yang selaras dengan misi kami untuk memupuk kecemerlangan akademik dan inovasi dalam pendidikan.
"Kerjasama bersama pihak Excelerate mencerminkan komitmen kami untuk menghasilkan pendidik yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga mampu menyesuaikan diri dan mahir dalam landskap digital.
"Program ini pastinya berupaya meningkatkan kebolehpasaran graduan UPSI sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan di seluruh Malaysia," katanya.
Sementara itu Pengerusi Excelerate, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz berkata, program kali ke-4 itu disasarkan kepada pelajar universiti berkenaan.
"Inisiatif Program Pembangunan K-Youth ini adalah usaha utama Khazanah Nasional bagi meningkatkan kebolehpasaran belia di Malaysia.
"Kali ini Excelerate bekerjasama secara ekslusif dengan UPSI untuk menyampaikan Program Pembangunan K-Youth yang disasarkan kepada 550 pelajar tahun dua UPSI," katanya.
Program berkenaan direka untuk pelajar UPSI yang menumpukan tiga bidang penting dalam sektor ekonomi digital iaitu pemasaran digital, analisis data dan pengalaman pengguna.
"Melalui program ini, pelajar UPSI berupaya melengkapkan diri mereka dengan kemahiran digital yang penting untuk meningkatkan prospek pekerjaan mereka dan menyediakan mereka untuk menghadapi cabara masa depan.
"Pelajar juga akan menerima panduan tentang strategi pencarian kerja dan mempunyai akses kepada sistem sokongan yang mantap, terdiri daripada webinar ekslusif, bengkel dan sambungan ke rangkaian Rakan Bakat Excelerate," katanya lagi.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Excelerate, Mr Andrew Pereira; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr. Norkhalid Salimin; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Pengarah Pengurus Modal Insan Strategik Khazanah Nasional Berhad, Muhammad Razip Mohammad Zin; Pengarah EDGE UPSI, Prof Madya Dr. Sharul Effendy Janudin.