KUALA LUMPUR, 3 Oktober- Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Suhaimi menyifatkan pelantikan pada 15 Ogos lalu hingga 15 Ogos 2026 itu sebagai satu penghormatan kepadanya.
"Saya rasa semua orang akan sampai pada usia tertentu untuk dia memberi semula kepada industri ataupun negara. Jadi, dalam kes ini saya begitu terharu dengan penghormatan UiTM menjemput saya untuk menjadi Profesor Adjung di UiTM.
"Saya rasa ini sesuatu yang sangat bagus kerana akhirnya kita akan mendapat pekerja industri yang hebat. Saya fikir pengalaman dan juga kepakaran RTM dalam kerjasama ini boleh membantu pelajar UiTM dalam industri serta paling penting boleh wujudkan pelbagai kolaborasi di pelbagai platform RTM," katanya.
Beliau berkata demikian selepas penyerahan surat pelantikan Profesor Adjung yang disampaikan Dekan Fakulti Komunikasi Pengajian Media (FKPM) Profesor Madya Dr Abd Rasid Abd Rahman dalam satu majlis ringkas di Angkasapuri Kota Media di sini.
Dengan pelantikan itu, Suhaimi akan menggunakan gelaran profesor sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
Abd Rasid berkata, pengalaman luas yang dimiliki Ketua Pengarah Penyiaran itu dilihat akan membantu pihak fakulti meneroka bidang akademik dan industri media tempatan khususnya.
"Pihak fakulti merasakan pelantikan ini amat bermakna sebagai seorang yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang penyiaran.
"Saya fikir Datuk Suhaimi merupakan individu yang sesuai kerana FKPM merupakan satu fakulti yang paling lama di Malaysia iaitu lebih 52 tahun.
"...dan kita juga mengharapkan sumbangan ataupun pengalaman Datuk Suhaimi akan dapat membantu fakulti untuk pergi lebih jauh dalam bidang penyiaran pada masa hadapan," katanya.