TASEK GELUGOR, 3 Oktober- Lebih 134 hektar kawasan sawah dan tanaman sayur-sayuran di Seberang Perai Utara ditenggelami banjir.
Kerugian dianggarkan sebanyak RM1.9 juta yang membabitkan 146 petani di negeri itu.
Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Negeri, Fahmi Zainol berkata, selain bantuan dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Koperasi Malaysia, kerajaan negeri akan menilai bantuan untuk disalurkan kepada petani yang terjejas.
"Selepas berlaku bencana yang lepas, kita telah hantar kepada pihak KPKM untuk bantuan-bantuan yang selayaknya.
"Dalam masa yang sama juga, kerajaan negeri, Jabatan Pertanian kita akan tengok berapa belanjawan yang ada baki lagi untuk disalurkan kepada pihak yang berkaitan, ada sedikit baki itu, tapi nak kata kita dapat bantu sepenuhnya, itu tidak berani nak janji, tapi dalam proseslah sekarang, kelulusan melalui Jabatan Pertanian", katanya.
Beliau ditemui media selepas melawat lokasi pertanian terjejas bencana di Seberang Perai Utara.
Sumbangan turut diberikan kepada petani yang terkesan agar dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi cabaran akibat banjir ini.