SERDANG, 29 September - Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menemui sistem bateri lebih efisien dan mesra alam menerusi penggunaan Teori Fungsi Ketumpatan (DFT) dalam kajian saintifik.
Pensyarah Kanan UPM, Dr Chan Kar Tim, berkata simulasi DFT memberi gambaran awal prestasi bahan elektrod sebelum diuji secara eksperimen, menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui global.
“DFT membolehkan kami meramalkan kesesuaian sesuatu bahan dijadikan elektrod bateri. Kajian terhadap 1T-VS₂/grafen menunjukkan halangan resapan ion rendah untuk litium dan natrium.
"Hasil simulasi mendapati proses pengecasan dan nyahcas berlaku lebih pantas, sekali gus meningkatkan kecekapan bateri litium dan natrium bagi kegunaan teknologi generasi baharu," katanya ketika membentangkan kertas bertajuk First-principles Calculation of 1T-VS₂/graphene Composite as a High-performance Anode Material for Lithium- and Sodium-ion Batteries pada ICSSST2025, di Cameron Highlands baru-baru ini.
Menurutnya, pendekatan teori ini membolehkan penilaian konduktiviti elektrik, kapasiti penyimpanan tenaga serta kadar pengecasan dan nyahcas sesuatu bahan dilakukan dengan lebih pantas serta kos efektif.
“Hasil kajian mendapati komposit itu menyimpan kapasiti maksimum 1,156 mAh/g untuk litium dan 770 mAh/g untuk natrium, membuktikan potensi simpanan tenaga tinggi,” katanya.
Tambahnya, profil voltan litar terbuka turut menunjukkan storan ion stabil dengan purata 0.75 volt untuk litium dan 0.77 volt bagi natrium dalam ujian simulasi.
Dr Chan yang berpengalaman dalam fizik teori berkata penemuan itu signifikan kerana menggunakan bahan semula jadi, menawarkan kos kompetitif serta potensi besar sebagai anod bateri baharu.
“Selain merevolusikan teknologi bateri, penemuan ini memberi kesan positif kepada kelestarian alam sekitar, menyokong tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan pelepasan karbon global,” katanya.
Menurutnya, kajian berasaskan simulasi DFT membuktikan teknologi ini mempercepatkan pembangunan bateri baharu yang lebih cekap, selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta kelestarian global.