fb fb fb fb fb

BUDI95 disambut baik penerima STR di Johor Bahru

FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 29 September- Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Johor menyambut baik pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang mula menawarkan harga petrol RM1.99 seliter kepada golongan B40 bermula semalam.

Tinjauan RTM di beberapa stesen minyak sekitar bandar ini mendapati operasi berjalan lancar dengan rata-rata penerima STR menyifatkan penjimatan tersebut membantu meringankan perbelanjaan harian mereka.

Seorang penerima STR, Khairul Hafizi Mohammad berkata, penjimatan kecil melalui subsidi berkenaan amat membantu bagi kegunaan motosikalnya untuk berulang-alik ke tempat kerja.

"Pendapatan kami tidak terlalu tinggi, jadi walaupun tidak banyak, ia tetap satu bentuk penjimatan berbanding sebelum ini," katanya.

Seorang lagi penerima, Hafiz Mohd Supardi berharap inisiatif itu dapat diperluaskan lagi sambil menegaskan kepentingan memastikan hanya rakyat tempatan menikmati subsidi tersebut.

"Biar rakyat Malaysia yang betul-betul layak dapat guna minyak pada harga ini, bukan warga asing," katanya.

Bagi Mohd Izhar Ahmad Aini, penetapan harga lebih rendah membolehkan beliau menggunakan kenderaan dengan lebih fleksibel.

"Bila murah, penggunaan pun lebih luas. Langkah ini juga baik untuk kawal orang asing daripada menggunakan minyak bersubsidi," katanya.

SITI AISHAH BINTI MD ISA