KEMAMAN, 29 September- Seorang warga emas maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer 8, Jalan Chukai–Air Putih berhampiran Kampung Seri Jaya, Binjai, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8.00 malam itu, mangsa, Wee Hin Tin, 86, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Penguasa Polis (SP) Mohd Razi Rosli berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang melintas dari tengah jalan menuju ke bahu kiri sebelum dilanggar sebuah kereta dipandu seorang wanita berusia 25 tahun yang dalam perjalanan ke bandar Chukai.
Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke bahu kiri jalan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.