SERDANG, 13 Jun –Tidak mahu membuang masa terluang, sekumpulan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) mempraktikkan ilmu dipelajari dengan menggunakan tanah dalam kawasan kolej kediaman bagi projek penternakan arnab dan kebun sayur-sayuran.
Menurut Muhammad Hasif Muhairi, pelajar Sarjana Muda Sains Haiwan dengan Kepujian, Fakulti Pertanian dari Kolej 14 UPM, dia bersama rakan lain menceburkan diri dalam bidang penternakan untuk mencari pengalaman sebenar sebagai penternak selain merealisasikan pengetahuan yang diajar dalam bilik kuliah.
Mula menternak arnab pada Disember 2023; mereka membeli lima ekor arnab induk spesies New Zealand White; tiga ekor betina dan dua ekor jantan pada harga RM25 seekor.
Kini arnab peliharaan mereka membiak sebanyak 15 ekor dan diternak dalam sebuah khemah di kawasan kolej kediaman mereka.
“Arnab boleh dipelihara dalam sangkar dan tidak memerlukan kawasan luas. Keadaan ini amat berbeza dengan penternakan ayam, lembu dan kambing yang memerlukan kawasan tanah lebih luas dan memerlukan kos tinggi untuk menyediakan infrastruktur lengkap iaitu kandang, stor penyimpanan makanan dan sebagainya,” kata Hasif.
Tambahnya, mereka memilih arnab kerana perbelanjaan permulaan untuk penternakan arnab tidak tinggi dengan nilaian benih baka tidak seperti haiwan ternakan lain seperti lembu dan kambing.
“Jadi ini adalah satu sub sektor penternakan yang mudah dimulakan oleh kami sebagai anak-anak muda,” jelasnya.
Para pelajar kolej 14 tidak hanya mengfokuskan kepada penternakan arnab tetapi juga tanaman sawi, bayam dan juga kangkung/Foto UPM
Bercerita mengenai cabaran, Hasif berkata amat membimbangkan sekiranya arnab dijangkiti penyakit kurap. Namun kebiasaannya arnab akan diasingkan sehingga sembuh dan akan dirawat para pelajar dari Fakulti Perubatan Veterinar, UPM.
Selain menternak arnab, Hasif dan rakan-rakannya turut mengusahakan tanaman sayur-sayuran seperti sawi, bayam dan kangkung.
Menurut pelajar Sarjana Muda Sains Pengurusan Perladangan dengan kepujian, Tamilarasan E. Nagarajan, sayur-sayuran yang dipilih adalah spesies mudah untuk dijaga dan paling digemari rakyat Malaysia.
Bagi Pengetua Kolej 14, UPM, Prof. Madya Dr. Mohamad Aris Mohd Moklas, projek penternakan arnab dan projek pertanian ini selaras usaha dan objektif UPM dalam membantu memajukan pertanian negara.
“Kami di peringkat kolej menyokong dan memberi bantuan bagi memastikan aktiviti ini dapat dilaksanakan oleh pelajar di kolej ini. Projek penternakan arnab ini adalah ruang untuk para pelajar menjadi seorang penternak arnab dan juga seorang petani, seterusnya menjual hasil tanaman dan ternakan diusahakan.
“Proses ini adalah pengetahuan tambahan untuk mereka belajar menambah pendapatan sampingan. Saya berharap Kolej 14 akan menjadi pusat pertanian pada masa akan datan,” katanya mengakhiri perbualan.